Kajian LIVERAGE™ dan LIVERAGE™ Cirrhosis menilai ubat kajian yang sama untuk mengetahui sama ada ubat kajian ini boleh menambah baik kesihatan hati individu yang menghidap penyakit hati berlemak pelbagai peringkat.
Ubat kajian dalam kedua-dua kajian LIVERAGE™ dan LIVERAGE™ Cirrhosis dipanggil survodutide. Survodutide direka bentuk untuk:
- Membantu dalam menurunkan berat badan dan meningkatkan penggunaan tenaga.
- Menambah baik paras gula dalam darah.
- Mengurangkan kandungan lemak hati dan kekerasan hati.
Cara ubat ini berfungsi bermakna ubat ini mungkin menyasarkan bukan sahaja MASH, tetapi juga keadaan kesihatan latar yang mempengaruhi metabolisme badan (proses dalam badan kita yang menukarkan makanan kepada tenaga).
Kedua-dua kajian membandingkan survodutide dengan plasebo. Plasebo kelihatan seperti survodutide tetapi tidak mempunyai nilai terapeutik.
Anda akan mempunyai 2 dalam 3 (67%) peluang untuk menerima survodutide dan 1 dalam 3 (33%) peluang untuk menerima plasebo. Ini akan dipilih secara rawak (iaitu mengikut nasib) oleh komputer. Anda mahupun pasukan kajian tidak akan tahu sama ada anda menerima survodutide atau plasebo. Strategi ini sering digunakan dalam kajian klinikal untuk memastikan keputusan dikendalikan secara adil, tanpa sebarang pendapat atau jangkaan yang berat sebelah.
Kedua-dua survodutide dan plasebo akan diberikan sekali setiap minggu melalui suntikan sendiri di bawah kulit. Anda akan ditunjukkan cara memberikan suntikan kajian kepada diri sendiri. Latihan penuh akan diberikan untuk memastikan anda berupaya dan yakin untuk melakukannya. Aturan lain boleh dilakukan jika anda tidak dapat melakukan suntikan sendiri.
Kebanyakan ubat (ubat yang telah diluluskan dan ubat kajian) diiringi beberapa kesan sampingan yang dikaitkan dengan penggunaannya. Walau bagaimanapun, tidak semua orang dijangka akan mengalami kesan sampingan itu. Berdasarkan keputusan daripada kajian klinikal terdahulu, kesan sampingan yang utama berkaitan dengan sistem pencernaan anda. Sebarang kesan sampingan yang berkaitan dengan survodutide dijangka bersifat sementara, mudah dipantau dan boleh diurus dalam persekitaran kajian. Jika anda berminat untuk mengambil bahagian, ahli pasukan kajian berbesar hati untuk membincangkan topik ini dengan anda.
Anda akan menerima nasihat pemakanan dan aktiviti fizikal jangka panjang untuk menyokong anda dalam mengamalkan pilihan gaya hidup sihat.
Kajian ini tidak ditentukan tempohnya. Penyertaan dalam Kajian LIVERAGE™ mungkin akan berlanjutan kira-kira 7 tahun. Penyertaan dalam Kajian LIVERAGE™ Cirrhosis mungkin akan berlanjutan hingga 4.5 tahun.
Anda perlu menghadiri lawatan kajian. Sesetengah lawatan akan dijalankan di tapak kajian dan lawatan lain mungkin diatur secara jarak jauh melalui panggilan video. Lawatan pada mulanya dijalankan setiap 2 minggu, beralih kepada setiap 4 minggu, kemudian setiap 6 minggu mulai bulan ke-6 dan seterusnya.
Sepanjang kajian, anda akan dikehendaki untuk mengisi diari untuk merekodkan tarikh dan masa suntikan kajian anda, dan mencatat butiran tentang pemakanan dan aktiviti fizikal anda.
Anda mungkin perlu menjalani satu atau lebih biopsi hati. Biopsi hati bermaksud sedikit tisu hati anda akan diambil semasa menjalani suatu prosedur di tapak kajian. Anda akan diberikan ubat kebas setempat sebelum jarum disuntik di bawah tulang rusuk kanan anda. Jarum ini telah direka khas untuk mengambil sedikit tisu hati. Doktor kajian akan dapat melihat imej langsung badan anda pada skrin semasa melakukan prosedur itu. Tatal ke bahagian bawah halaman ini untuk video yang menerangkan perkara yang boleh anda jangkakan semasa menjalani prosedur ini.